Khamis, 21 Julai 2016 | 5:09pm

Lelaki dakwa bawa bom, tiga penerbangan dari Kuching ditunda

KETUA Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai pada sidang media berhubung gurauan seorang anggota tentera mendakwa kotak yang dibawanya berisi bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
KETUA Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai pada sidang media berhubung gurauan seorang anggota tentera mendakwa kotak yang dibawanya berisi bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

KUCHING: Tiga penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan hari ini selepas seorang anggota tentera mendakwa kotak yang dibawanya berisi bom pada jam 10.15 pagi tadi.

Bukan itu sahaja, anggota tentera berpangkat Lans Koperal berusia 25 tahun itu, turut memberitahu kakitangan kaunter daftar masuk syarikat penerbangan Ais Asia, bahawa dia akan meletupkan pesawat yang akan dinaikinya dari Kuching ke Kota Bahru.

Berikutan itu, polis dipanggil dan lelaki itu ditahan sebelum pemeriksaan rapi dilakukan terhadap lima bagasinya, namun polis hanya menemui kek lapis Sarawak dan ikan terubok masin, selain pakaiannya.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, selepas kakitangan kaunter daftar masuk menjelaskan bahawa dakwaan memiliki bom itu boleh menyebabkan dia dikeluarkan dari senarai penumpang, lelaki itu terus mengatakan dia hanya bergurau.

"Ini kesalahan serius dalam keselamatan penerbangan. Benda yang boleh mencetuskan panik bukan boleh dijadikan gurauan, kerana ia bukan sahaja menyebabkan keadaan di lapangan terbang gempar, malah perbuatannya menyebabkan ramai penumpang menghadapi masalah apabila tiga penerbangan ditunda, hari ini.

"Penerbangan hanya dibenarkan berlepas selepas polis memeriksa semua bagasi lelaki itu dan memastikan keseluruhan kawasan lapangan terbang selamat pada jam 12.30 tengahari," katanya.

Katanya lagi, lelaki itu kini ditahan dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran orang ramai.

Berita Harian X