Ahad, 17 Julai 2016 | 11:44pm

Warga China lemas di Langkawi

WARGA China, Hong Leung, 74, dari Guangdong yang lemas ketika mandi di Taman Laut Pulau Payar, Langkawi, siang tad. - Foto Hamzah Osman
WARGA China, Hong Leung, 74, dari Guangdong yang lemas ketika mandi di Taman Laut Pulau Payar, Langkawi, siang tad. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Seorang pelancong lelaki warga China lemas ketika mandi di Taman Laut Pulau Payar dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Hong Leung, 74, dari Guangdong, China dikatakan sedang mandi bersama keluarganya sebelum ditemui terapung di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkaitan kejadian itu pada jam 2.35 petang sebelum menghantar sepasukan anggota untuk menyiasat.

"Siasatan awal mendapati mangsa tiba di pulau itu bersama ahli keluarganya untuk mandi pada jam 11.40 pagi dan ketika bersiap untuk pulang 40 minit kemudian, mangsa tiada bersama mereka.

"Selepas berusaha mencari di kawasan persekitaran mereka menemui mangsa yang memakai jaket keselamatan terapung dan dibawa naik ke darat untuk diberi rawatan kecemasan sebelum dihantar ke jeti Kuah menggunakan bot," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Che Ghazali berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Langkawi (HL) yang sedia menunggu di jeti Kuah.

"Mayatnya kemudian dihantar ke HL untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dibawa pulang ke negara asal," katanya.

Berita Harian X