Sabtu, 16 Julai 2016 | 6:56pm

Guru wanita maut Kelisa dirempuh D-Max

KEADAAN kenderaan pacuan empat roda dan Perodua Kelisa selepas bertembung di Jalan Kokol, dekat Kota Kinabalu. - Foto ihsan IPD Kota Kinabalu
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda dan Perodua Kelisa selepas bertembung di Jalan Kokol, dekat Kota Kinabalu. - Foto ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang guru sekolah rendah meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Kokol berhampiran Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.10 pagi itu, Suzanne Darlyn @ Anne Kula, 34, mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di Klinik Menggatal, kira-kira jam 12 tengah hari.

Difahamkan, pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max itu datang dari arah Menggatal menuju ke Bukit Kokol. Bagaimanapun, ketika menuruni bukit di Jalan Kokol, kenderaan yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan terbabas dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan dan dihantar ke Klinik Manggatal oleh orang awam.

"Kita belum mengenalpasti kecederaan dialami mangsa bagaimanapun kira-kira jam 12 tengah hari tadi, dia disahkan meninggal dunia di Klinik Menggatal. Pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang tidak dapat mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit hingga menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan.

"Pemandu pacuan empat roda itu juga sudah ditangkap dan ditahan reman," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X