Jumaat, 15 Julai 2016 | 4:05pm

Peniaga wanita cedera dalam cubaan samun

SUBANG JAYA: Seorang peniaga cedera di beberapa bahagian badan ketika bergelut dengan penjenayah dalam cubaan samun di hadapan Medan Selera Jalan Indah 3/8 Bukit Puchong, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa mengalami kecederaan di lengan, bahu dan pipi pergelangan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata dalam kejadian jam 1.10 pagi, wanita berusia 46 tahun itu didatangi dua lelaki yang berpura-pura mahu membeli rokok di gerainya.

Seorang daripada suspek kemudian merangkul leher wanita itu dari belakang dan mengarahkannya mendiamkan diri sebelum menarik rantai leher dipakainya.

"Selepas itu berlaku pergelutan antara mangsa dengan seorang lagi suspek apabila dia cuba menghalang suspek mengambil beg tangan miliknya yang disangkut di gerai. Mangsa turut menjerit meminta tolong.

"Kedua-dua suspek yang panik, melarikan diri dengan sebuah motosikal. Bagaimanapun, seorang daripada suspek berjaya ditahan oleh orang awam," katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa dan suspek berusia 26 tahun yang retak pergelangan kaki kanan, dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X