Khamis, 7 Julai 2016 | 6:14pm
PENJENAYAH berparang serang pusat hiburan di Publika Solaris malam tadi menyebabkan dua terbunuh dan seorang parah.
PENJENAYAH berparang serang pusat hiburan di Publika Solaris malam tadi menyebabkan dua terbunuh dan seorang parah.

Penjenayah berparang serang pusat hiburan, 2 maut satu parah

KUALA LUMPUR: Dua termasuk seorang wanita maut, manakala seorang lelaki parah selepas mereka diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di sebuah pusat hiburan di Publika Solaris, Jalan Dutamas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 21 dan 23 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Allen dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua buah kereta dilihat berhenti di hadapan pusat hiburan itu sebelum beberapa lelaki keluar menuju ke premis hiburan terbabit.

"Seorang suspek dilihat menunjuk ke arah seorang mangsa yang sedang duduk di kaki lima premis hiburan terbabit dan terus menetaknya berkali-kali.

"Suspek lain dilihat masuk ke dalam premis hiburan dan menetak dua lagi mangsa termasuk seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang di situ," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, selepas menetak semua mangsa, kumpulan suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang sama.

"Menurut saksi, serangan itu berlaku dalam masa yang singkat dan menggambarkan semua mereka memakai topeng dan memegang parang.

"Susulan kejadian itu, sepasukan polis daripada Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menahan enam lelaki tempatan berusia 33 hingga 20 tahun di sekitar Lembah Klang, pada jam 2 pagi tadi, bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, dua daripada suspek ditahan di rumah masing-masing manakala empat lagi ditahan berdekatan pusat hiburan itu.

Katanya lagi, semua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X