Rabu, 29 Jun 2016 | 1:05pm
FOTO hiasan
FOTO hiasan

20 penghuni CCRC Serdang dipenjara

KULIM: Mahkamah Majistret Bandar Baharu di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara antara 11 hingga 13 bulan kepada 20 penghuni Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Khas Serdang kerana melakukan pelbagai kesalahan disiplin termasuk menggunakan dadah ketika menerima rawatan dan pemulihan di pusat itu pada Mei dan awal bulan ini.

Semua tertuduh berusia 30 hingga 42 tahun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah di hadapan Hakim Musyiri Peet, sebaik saja pertuduhan dibaca secara berasingan di mahkamah pagi tadi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, 15 tertuduh dituduh melakukan kesalahan membuat tatu ketika berada dalam pusat pemulihan CCRC Serdang pada jam kira-kira 9.30 pagi, 8 Jun lalu.

Tertuduh, Nurul Asyraf Shahrul Anwar; Mohd Damhury Md Ariffin; Mohamad Khairul Johari Abdul Hamid; Shaiful Nizam Jaafar; Mohamad Farizan Salleh; Khairul Azzuan Zahari; Mohd Najib Abu Hassan; Ahmad Kamal Shah Othman; Mohd Izuan Azman; Azman Abdul Hamid; Mohd Zulkhainain Zabidi; Mohd Safarin Baharin; Mohamad Redzuan Abd Zahni; Mohd Hapfif Yahaya dan Nasir Abdul Salam dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20 (1) (a) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan sabit kesalahan boleh didenda atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Musyiri kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bermula tarikh ditangkap iaitu 8 Jun lalu terhadap semua tertuduh terbabit.

Tiga lagi tertuduh iaitu Muhamad Rasyidee Zulkefli; Badrulshah Bahar dan Zanzuri Md Yusoff pula dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dari tarikh ditangkap 25 Mei lalu kerana mengambil dan menggunakan dadah berbahaya jenis morfin di CCRC Serdang.

Dua lagi tertuduh, Mohd Ridzuan Samsudin dan Lim Eng Bok, dituduh melakukan kesalahan membawa dan menggunakan telefon bimbit di CCRC Serdang pada jam kira-kira 11 pagi, 25 Mei lalu dan mereka dijatuhi hukuman penjara 11 bulan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Zakaria Mat Saed, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X