Ahad, 26 Jun 2016 | 2:04pm

Rumah jadi stor mercun, suri rumah antara ditahan

SUFFIAN (tengah) dan pegawainya menunjukkan antara mercun yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah ini sejak kelmarin.
SUFFIAN (tengah) dan pegawainya menunjukkan antara mercun yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di daerah ini sejak kelmarin.

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana mahu memperoleh keuntungan berlipat ganda, dua individu termasuk seorang suri rumah sanggup menjadikan kediaman mereka sebagai stor simpanan mercun tanpa mempedulikan keselamatan ahli keluarga.

Bagaimanapun, tindakan mereka dihidu pihak berkuasa selepas urmah mereka di Kampung Lingai, Batu Rakit dan Kampung Kuala Bekah, di sini, diserbu polis, sejak kelmarin.

Antara mercun dirampas adalah jenis mercun bola, das, roket, ketupat dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, berkata serbuan pertama dilakukan di kediaman seorang suri rumah berusia 38 tahun di Batu Rakit, di sini, sebelum pihaknya menemui pelbagai jenis mercun dipercayai dibekalkan kepada peniaga kecil di sekitar daerah ini.

Katanya, dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, wanita terbabit ditahan selepas mengaku memiliki mercun berkenaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Dalam serbuan kedua di Kampung Kuala Bekah, polis menahan seorang bapa enam anak berusia 34 tahun selepas menemui stok mercun di tingkat dua rumahnya kira-kira jam 2.25 pagi, semalam.

"Mereka dipercayai menjadikan rumah masing-masing sebagai stor simpanan mercun berkenaan untuk dijual kepada peniaga kecil di sekitar daerah ini sempena musim perayaan. Kedua-dua suspek diambil keterangannya sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Suffian berkata, IPD Kuala Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan pemeriksaan, rampasan dan tangkapan terhadap individu atau kumpulan yang memiliki mercun di daerah ini.

"Rampasan hari ini adalah yang terbesar setakat ini dan polis akan meneruskan pemeriksaan bagi mengekang penjualan mercun daripada terus berleluasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Berita Harian X