Selasa, 21 Jun 2016 | 9:11pm

Murid Tahun Dua hilang di sekolah

ADRIANA Damia Danisha Nor Junadi. - Foto Rosli Ilham
ADRIANA Damia Danisha Nor Junadi. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang murid perempuan Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Batu 48, di sini, dilaporkan hilang dari sekolahnya, tengah hari tadi.

Kehilangan murid terbabit, Adriana Damia Danisha Nor Junadi, 8, disedari ibunya, Siti Mazlina Hamzah, 32, ketika pergi menjemputnya di sekolah, tengah hari tadi.

Siti Mazlina berkata, guru kelasnya memaklumkan Adriana datang ke sekolah tetapi beliau dibantu pengawal keselamatan gagal menemui Adriana.

"Begnya pun hilang. Dia tak pernah begini, setiap hari saya akan datang menjemputnya, kalau dia pergi bermain dengan kawan, dia tinggal begnya di atas bangku.

"Pagi tadi, dia cakap tak mahu pergi ke sekolah. Ayah tirinya, Mohd Hazrin Zakaria, menghantarnya ke sekolah. Kira-kira jam 1.30 tengah hari, saya ke sekolah untuk menjemputnya di sekolah dan dia tiada," katanya.

Siti Mazlina berkata, beliau memaklumkan kejadian itu kepada bekas suaminya, yang turut serta mencari mangsa.

"Saya minta orang ramai yang melihat anak saya supaya menghubungi talian 013 9004527," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, mengesahkan menerima laporan yang dibuat ibu mangsa.

Berita Harian X