Jumaat, 17 Jun 2016 | 5:54pm
KEADAAN lori yang terbabas di Kilometer 217.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di Alor Gajah, pagi tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KEADAAN lori yang terbabas di Kilometer 217.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di Alor Gajah, pagi tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Kelindan maut, pemandu parah lori rempuh treler

ALOR GAJAH: Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera parah apabila lori yang dinaiki terbabas selepas merempuh sebuah treler di Kilometer 217.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh itu, mangsa yang maut dikenali Muhammad Fikri Abd Halim, 22.

Kejadian berlaku apabila lori membawa muatan barangan cucian itu dalam perjalanan menghala ke Muar, Johor dipandu Muhammad Alashaari Burhan, 27, sebelum terbabit kemalangan.

Sumber berkata, ketika kejadian pemandu lori dikatakan pitam secara tiba-tiba, sebelu merempuh bahagian belakang sebuah treler di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata akibat kemalangan itu pemandu lori berkenaan patah kaki kiri, manakala kelindannya pula disahkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah akibat cedera parah di anggota badan.

"Waris mangsa sudah dihubungi dan kenderaan berat terbabit ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalanan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita Harian X