Rabu, 8 Jun 2016 | 6:19pm

1 maut, 7 cedera MPV terbalik

Anggota bomba cuba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sete;ah kenderaan MPV yang membawa PATI, terbabas dan terbalik di Jalan Kubang Kuau. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba cuba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sete;ah kenderaan MPV yang membawa PATI, terbabas dan terbalik di Jalan Kubang Kuau. - Foto ihsan Bomba

RANTAU PANJANG: Seorang maut, tujuh penumpang cedera dalam kemalangan di Kampung Gertak 3, Jalan Kubang Kual, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mazda yang dinaiki lapan individu termasuk enam lelaki dikatakan terbabas sebelum terbalik.

Akibat kejadian itu, pemandu kenderaan yang juga penduduk tempatan maut di lokasi kejadian berikutan kecederaan teruk, manakala, tujuh penumpang cedera dan dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kenderaan yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun itu membawa seorang lelaki tempatan dan enam warga Myanmar termasuk dua wanita dalam perjalanan dari Rantau Panjang menghala ke Alor Pasir, Tanah Merah.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, berkata pihaknya mendapat panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi sebelum mengerahkan lima anggota ke lokasi berkenaan.

"Sebaik anggota kita tiba di lokasi, kami mendapati pemandu kereta sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk. Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya.

"Mangsa yang cedera terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan enam warga Myanmar termasuk dua wanita dan dihantar ke HPM untuk rawatan lanjut.

"Enam individu warga Myanmar tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan kita menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," katanya.

Berita Harian X