Isnin, 30 Mei 2016 | 4:08pm

Penarik kabel bawa 20kg daun ketum ditahan

TIGA bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 20 kilogram bersama satu botol mengandungi air ketum dijumpai di dalam bonet kereta Kia Karnival yang ditahan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Simpat Ampat, Alor Gajah, tengah malam tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
TIGA bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 20 kilogram bersama satu botol mengandungi air ketum dijumpai di dalam bonet kereta Kia Karnival yang ditahan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Simpat Ampat, Alor Gajah, tengah malam tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

ALOR GAJAH: Polis menahan seorang penarik kabel berusia 36 tahun dan merampas tiga plastik berisi daun ketum bernilai kira-kira RM600 dalam Ops Bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Simpat Ampat, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, suspek yang memandu kereta Kia Karnival dikesan dalam keadaan mencurigakan, sebelum diarah berhenti untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, berkata hasil pemeriksaan polis mendapati tiga bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 20 kilogram bersama satu botol mengandungi air ketum di dalam bonet kereta terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Teluk Intan, Perak dipercayai melakukan kegiatan mengedar daun dan air ketum di sekitar kawasan Bukit Rambai dan Sungai Udang dengan mendapatkan bekalan daun di Perak.

"Suspek juga memiliki empat rekod jenayah lalu berkaitan dadah antara tahun 2011 hingga 2014 dan pernah didakwa.

"Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut dan ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Ops Bersepadu itu turut disertai Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) negeri.

A Asmadi berkata, dalam Ops Bersepadu itu pula, sebanyak 50 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana kesalahan memiliki permit palsu.

"JPJ negeri turut mengeluarkan sebanyak 13 saman atas pelbagai kesalahan, manakala SPAD pula mengesan dua kesalahan," katanya.

Berita Harian X