Isnin, 23 Mei 2016 | 12:37pm

4 hari bicara kes hasutan Rahim Thamby Chik

BEKAS Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya, September lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
BEKAS Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya, September lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi menetapkan empat hari bermula 20 September ini sebagai tarikh perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya, September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, memberi tahu Hakim Mahkamah Sesyen, Slamat Yahya, pihaknya akan memanggil 10 saksi bagi pihak pendakwaan dalam perbicaraan berkenaan.

Pada 5 Oktober tahun lalu, Abdul Rahim, 66, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memfitnah Raja Muda Selangor selepas didakwa menggunakan aplikasi Facebook Rahim Tamby Chik untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir, sudah murtad.

Kesalahan itu dilakukan pada 25 September tahun lalu, pada jam 8 pagi di Istana Mestika, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Rahim didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Abdul Rahim juga tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 30 September tahun lalu, Dewan Diraja Selangor melahirkan rasa dukacita, terhadap kenyataan tidak bertanggungjawab Abdul Rahim yang mendakwa penukaran agama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Berita Harian X