Ahad, 22 Mei 2016 | 9:25pm

Remaja cedera, tangan tersepit mesin pengisar daging

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan tangan remaja lelaki yang tersepit dalam mesin pengisar ayam selama dua jam di Kampung Pekan Gelam, Sungai Limau, Yan, petang semalam. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan tangan remaja lelaki yang tersepit dalam mesin pengisar ayam selama dua jam di Kampung Pekan Gelam, Sungai Limau, Yan, petang semalam. - Foto ihsan bomba

YAN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera di bahagian tangan selepas tersepit dalam mesin pengisar ayam selama dua jam di Kampung Pekan Gelam, Sungai Limau, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa mengalami kecederaan pada ibu jari dan jari telunjuk di tangan kanannya ketika sedang menggunakan mesin terbabit untuk mengisar perut ayam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Firdaus Isa, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 petang sebelum enam anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sedang meraung kesakitan akibat tersepit menyebabkan bomba terpaksa meminta bantuan daripada pihak Hospital Yan (HY) untuk memberikan ubat bius kepada remaja terbabit.

"Hanya selepas diberikan ubat bius, kerja menyelamatkan tangan mangsa dapat dijalankan.

"Kami terpaksa mengambil masa selama hampir dua jam bagi menanggalkan komponen mesin berkenaan termasuk menggunakan gergaji sebelum tangan mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat," katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamatkan remaja itu berakhir kira-kira jam lapan malam sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Yan untuk rawatan.

"Mangsa didapati mengalami kederaan serius pada ibu jari dan jari telunjuk lalu dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X