Rabu, 27 April 2016 | 2:00pm

Cuba langgar polis, 2 ditahan

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki yang cuba melanggar anggota bertugas dan melarikan diri, selepas kereta dinaiki terbabas di Taman Palma, Padang Temusu, dekat sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 22 dan 37 tahun serta menaiki kereta bersama dua lelaki lain ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, dua anggota polis yang meronda di sekitar Taman Sejati Indah dekat sini, terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa, berkata sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu 4WD berkenaan memecut sebelum dipintas kereta polis.

"Ketika diarah keluar, pemandu 4WD terbabit secara tiba-tiba memecut ke arah arah anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah 4WD berkenaan, menyebabkan tayar kanan hadapannya pecah sebelum terbabas ke tepi jalan.

"Empat lelaki yang menaiki 4WD itu melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran dengan menggalas dua beg sambil melepaskan tembakan ke arah polis tetapi dua dapat ditangkap," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui kapak kecil, senjata renjat, penyembur, telefon bimbit, pemedih mata dan pasport.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Akta Barang Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya.

Berita Harian X