Isnin, 25 April 2016 | 6:01pm

TLDM bakal terima enam kapal LCS baharu

PANGLIMA TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. - Foto BERNAMA
PANGLIMA TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) baharu menjelang tahun 2023, dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara.

Panglima TLDM, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata kapal terbabit akan diterima secara berperingkat daripada Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui kontrak perolehan.

"Kapal (LCS) pertama dirancang untuk ditauliahkan ke dalam TLDM ialah pada pertengahan tahun 2019 dan kapal terakhir pada pertengahan 2023.

"Melalui perolehan LCS ini, Angkatan Tentera Malaysia akan dapat meningkatkan keupayaan tempur armada TLDM daripada empat kapal sama yang sedia ada kini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari TLDM ke-82 Rabu ini di Wisma Pertahanan di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X