Isnin, 18 April 2016 | 11:14pm

Jenazah 2 rakan lemas di Indonesia selamat tiba

PIHAK berkuasa Indonesia di Flores melakukan kerja-kerja mencari mayat dua rakyat Malaysia, Mohammad Ezzaq Azumi dan Mohamad Azfar Tahir serta seorang pemandu pelancong rakyat tempatan Wenseslaus Hendro Akung yang lemas di kawasan air terjun Cunca Wulang, daerah Mebeliling, Indonesia.
PIHAK berkuasa Indonesia di Flores melakukan kerja-kerja mencari mayat dua rakyat Malaysia, Mohammad Ezzaq Azumi dan Mohamad Azfar Tahir serta seorang pemandu pelancong rakyat tempatan Wenseslaus Hendro Akung yang lemas di kawasan air terjun Cunca Wulang, daerah Mebeliling, Indonesia.

SEPANG: "Jangan suka sangat, Tuhan nak tarik kejap je" itulah ayat terakhir Mohamad Azfar Tahir, 23, salah seorang mangsa warga Malaysia yang lemas di kawasan perkelahan di Indonesia Sabtu lalu.

Tragedi di air terjun Cunca Wulang, daerah Mibeliling di wilayah Flores itu turut meragut nyawa rakannya, Mohammad Ezzaq Azumi, 23, dan seorang pemandu pelancong warga Indonesia, Wenseslaus Hendro Akung, 39, manakala tiga lagi rakan yang bercuti bersama terselamat.

Salah seorang yang terselamat, Mohammad Imran Had Helmy Had, 24, berkata ungkapan itu sering disebut oleh mereka apabila bercuti bersama-sama bagi mengingatkan supaya tidak terlalu seronok bila berada di tempat orang.

"Tidak sangka akhirnya apa yang sering kami perkatakan ini menjadi realiti apabila dua rakan kami lemas di kawasan perkelahan berkenaan.

MOHAMMAD Imran Had Helmy Had berkongsi detik-detik cemas kejadian yang meragut nyawa dua rakannya. - Foto BERNAMA
MOHAMMAD Imran Had Helmy Had berkongsi detik-detik cemas kejadian yang meragut nyawa dua rakannya. - Foto BERNAMA

"Mereka semua, kecuali saya, terjun ke dalam sungai dan yang terakhir melakukan terjunan adalah Azfar, namun tidak lama selepas itu dia terkapai-kapai meminta tolong. Kami semua terkejut dan cuba menyelamatkannya tetapi dia melawan sehingga merumitkan kami yang mahu menolong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini sebentar tadi, sejurus tiba dari Denpasar, Indonesia.

Imran menjelaskan, ketika kejadian beliau berada di tebing dan melihat dari atas kejadian itu. Beliau juga kesal tidak dapat membantu kerana tidak tahu berenang.

"Ezzaq lantas cuba membantu untuk menyelamatkan Azfar namun beliau turut hilang dari permukaan air. Selepas berulang kali meminta tolong, seorang pemandu pelancong dari kumpulan berlainan datang membantu.

"Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila beliau turut hilang dari permukaan sungai yang dalamnya kira-kira tujuh meter," katanya.

Imran berkata tempat perkelahan berkenaan disahkan selamat untuk mandi dan ia juga adalah lokasi yang sering dikunjungi pelancong.

"Kami semua tergamam kerana kejadian berlaku sangat pantas. Kami nampak Azfar dan Ezzaq terkapai-kapai namun tidak terdaya untuk membantu. Kedua-dua mereka adalah rakan baik saya sejak sekolah rendah di Sekolah Rendah Taman Sri Gombak," katanya.

Selain Imran, dua lagi rakan yang terselamat ialah Mohamad Qayyum Pirdous, 23 dan Muhammad Nurhafiz Nor Adzmi, 23.

Ketika kejadian, Mohamad Qayyum mendapatkan bantuan dengan menghubungi polis dan kerja-kerja mencari dan menyelamat bermula jam tiga petang tetapi terpaksa dihentikan pada jam lima petang kerana cuaca gelap.

Semalam, Muhammad Ezzaq Azumi dan Mohamad Azfar Tahir ditemui lemas oleh pasukan penyelamat Indonesia kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan manakala, mayat Wenseslaus ditemui di tempat yang sama pada jam tiga petang hari yang sama.

Terdahulu, jenazah Mohammad Ezzaq dan Mohamad Azfar selamat tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 7.05 petang tadi.

Jenazah Mohamad Ezzaq kemudian dibawa terus ke Masjid al-Khairiah, Taman Sri Gombak untuk disembahyang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Pertama, Gombak.

Manakala jenazah Mohammad Azfar pula dibawa ke rumah keluarganya di Kampung Padang Balang, Sentul dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Batu Muda, esok.

Berita Harian X