Isnin, 18 April 2016 | 2:28pm
LAMAN web BNM, www.bnm.gov.my.
LAMAN web BNM, www.bnm.gov.my.

BNM serbu 18 perniagaan perkhidmatan wang haram

Perniagaan perkhidmatan wang (MSB) haram. - Foto hiasan
Perniagaan perkhidmatan wang (MSB) haram. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Wang tunai dan harta benda bernilai lebih RM15 juta dirampas dalam serbuan ke atas 18 premis perniagaan perkhidmatan wang (MSB) haram di Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Operasi serbuan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan reman 14 suspek, manakala 24 individu lain disoal siasat, selain dokumen perniagaan dirampas serta akaun bank dibekukan untuk membantu siasatan.

BNM dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, daripada operasi itu, seorang keldai wang (money mule) yang mempunyai kaitan dengan operasi MSB haram turut ditahan.

Menurut kenyataan itu, rangkaian MSB haram diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan menjalankan aktiviti MSB yang merangkumi aktiviti pengurupan dan pengiriman wang tanpa lesen mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA), selain menjalankan aktiviti pengubahan wang haram yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Pengendali MSB haram ini juga disyaki menyeberang sempadan negara dengan membawa keluar wang tunai yang melebihi jumlah AS$10,000 (RM39,361) tanpa mengisytiharkannya kepada JDKM.

"Mengikut Seksyen 28B AMLA, bersama-sama dengan Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Perisytiharan Wang Tunai dan Instrumen Boleh Niaga Pembawa) 2014, menjadi satu kesalahan jika tidak mengisytiharkan kepada JKDM wang tunai melebihi jumlah bersamaan AS$10,000 yang dibawa menyeberang sempadan Malaysia," menurut kenyataan itu.

Mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 4(1) MSBA akan dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 4(1) AMLA, individu didapati bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Selain itu, bagi kesalahan mengikut Seksyen 28(B) AMLA, individu yang didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan supaya berurusan hanya dengan MSB berlesen untuk pengurupan atau pengiriman wang kerana mereka dilindungi terhadap sebarang kerugian kewangan jika berlaku pertikaian.

"Orang ramai perlu melakukan transaksi mereka dengan MSB berlesen yang disenaraikan di laman web BNM, www.bnm.gov.my," menurut kenyataan itu.

Berita Harian X