Khamis, 14 April 2016 | 10:36pm
- Foto ihsan pembaca
- Foto ihsan pembaca

Gerabak bawa simen tergelincir dekat Behrang

- Foto ihsan pembaca
- Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kereta api arah ke utara dan selatan tergendala hampir dua jam selepas gerabak membawa simen tergelincir dari landasan di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Behrang dekat sini, petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ridhwan Arshad, ketika dihubungi BH tadi, memberitahu Pusat Kawalan Kereta Api (CTC) di KL Sentral menerima laporan kejadian itu pada jam 4.20 petang.

"Akibat kejadian itu, kedua-dua trek landasan kereta api terpaksa ditutup untuk semua perkhidmatan komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan gerabak yang tergelincir dilakukan.

"Kita berjaya membuka satu laluan pada jam 6 petang dan seterusnya kerja-kerja membaiki landasan dan mengalihkan gerabak selesai sepenuh pada jam 9 malam tadi bagi membolehkan kedua-dua landasan dibuka semula," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan perjalanan sebuah kereta api ETS dari Ipoh tergendala dan berhenti berhampiran Stesen KTM Behrang.

"Kita terpaksa pindahkan penumpang menggunakan bas untuk ke Stesen KTM Behrang seterusnya meneruskan perjalanan dengan komuter ke destinasi seterusnya.

"Pihak KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi semua penumpang yang terbabit akibat kejadian itu," kata Ridhwan.

Beliau berkata, pihak KTMB kini sedang menjalankan siasatan bagi mencari punca bagaimana kereta api kargo yang dalam perjalanan dari arah utara ke ibu negara itu boleh tergelincir.

Berita Harian X