Ahad, 3 April 2016 | 11:26am

Anggota bomba terbabit tragedi Highland Towers meninggal dunia

N Yogaraja. - Foto ihsan bomba
N Yogaraja. - Foto ihsan bomba

KUALA LUMPUR: Seorang anggota bomba yang terbabit dalam operasi menyelamat Nur Hamidah Najib, bayi yang terselamat ketika tragedi Highland Towers 23 tahun lalu, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kinrara, Puchong awal pagi tadi.

N Yogaraja, 51, yang bertugas di Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meninggal dunia akibat parah di kepala.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumah di Taman Kinrara menuju tempat kerja di Jalan Klang Lama selepas membawa anak bongsunya yang demam ke klinik.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terbabas ketika melepasi persimpangan lampu isyarat Kinrara menghala ke Taman Sri Manja lalu terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat sebelum dibakar kira-kira jam 1 tengah hari esok.

Yogaraja sudah berkhidmat selama 27 tahun dengan JBPM dan 17 tahun bersama unit K9.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia 17 dan 19 tahun.

Berita Harian X