Selasa, 22 March 2016 | 9:30am

9 cedera bas ekspres rempuh kereta

BAS ekspres terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang pokok berikutan kemalangan itu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
BAS ekspres terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebatang pokok berikutan kemalangan itu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Sembilan cedera termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, van dan kereta di persimpangan Pusat Kenderaan Berat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, malam tadi.

Mangsa yang cedera adalah wanita yang memandu Nissan Sentra dan lapan penumpang bas iaitu empat lelaki serta masing-masing dua wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan, bas ekspres membawa 18 penumpang yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka Sentral, merempuh Nissan Sentra yang secara tiba-tiba memasuki persimpangan, kira-kira jam 8 malam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penguasa Bomba Kanan II, Mohd Wabil Md Dali, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.08 malam sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

KEADAAN bahagian depan kereta yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan itu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KEADAAN bahagian depan kereta yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan itu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Anggota bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa termasuk pemandu wanita yang tersepit," katanya.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Berita Harian X