Khamis, 17 March 2016 | 7:13pm

4 beranak nyaris rentung, kereta terbakar

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Hutan Rekreasi Masjid Tanah-Sungai Udang, petang tadi. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Hutan Rekreasi Masjid Tanah-Sungai Udang, petang tadi. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

MELAKA: Empat beranak nyaris rentung apabila kereta PROTON Saga dinaiki mereka terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Hutan Rekreasi Masjid Tanah-Sungai Udang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, kereta dipandu Anisza Md Kasim, 43, bersama tiga anaknya, Najwa Zaidi, 17, Nur Atiqah, 12, dan Muhammad Zulhairi, 10, dipercayai bertembung dengan sebuah PROTON Persona dari arah bertentangan dipandu, Faieez Jumiron, 22.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II, Tee Kim Guan, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 petang, sebuah jentera bomba bersama 10 anggota termasuk seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tindakan pantas orang awam yang melalui lokasi kejadian berjaya menyelamatkan mangsa, walaupun api merebak sehingga ke kawasan rumput berhampiran.

"Tiga kanak-kanak yang juga penumpang PROTON Saga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan PROTON Saga terbakar 100 peratus manakala PROTON Persona yang remuk di bahagian hadapan hanya terbakar kira-kira 10 peratus.

Punca kemalangan masih belum dikenal pasti.

Berita Harian X