Selasa, 8 March 2016 | 12:23pm

Polis cedera dipukul penunggang motosikal

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera pada muka selepas dipukul dengan topi keledar oleh seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan diri dari sekatan jalan di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 9.30 malam, mangsa ternampak sebuah motosikal jenis Honda Wave dinaiki suspek berusia 27 tahun bersama seorang remaja wanita membuat pusingan U dipercayai cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata anggota terbabit kemudiannya cuba menahan suspek dengan memegang motosikalnya namun suspek bertindak memukul tangan mangsa sebelum melompat dari motosikal dan memukul mangsa menggunakan topi keledar serta menendang mangsa beberapa kali.

"Suspek juga dipercayai turut menengking mangsa dengan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum suspek dan remaja berusia 16 tahun ditahan dengan bantuan rakan setugas.

"Mangsa mengalami bengkak muka sebelah kanan manakala suspek luka di bahagian kaki dan tangan berpunca terjun dari motosikal," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955.

Berita Harian X