Jumaat, 4 March 2016 | 12:42pm

Katrij tiruan RM1.5 juta dirampas

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas katrij tiruan bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di sebuah bangunan stor di Jalan Gurdwara, Georgetown, semalam.

Pengarah KPDNKK negeri, Nawardi Saad, berkata sebanyak 2,000 katrij kosong dan 720 katrij isi semula dirampas pada serbuan jam 3 petang itu.

Beliau berkata, risikan dilakukan sejak dua bulan lalu dan mengesan kegiatan mengisi semula katrij giat dijalankan di premis berkenaan.

"Katrij tiruan ini adalah katrij asli yang diisi semula dengan dakwat dan dijual pada harga pasaran.

"Produk tiruan ini dibungkus menggunakan kotak yang dicetak semula seperti produk asal berserta hologram dan nombor siri sama pada bungkusan," katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Katrij tiruan berkenaan dijual semula pada harga antara RM300 hingga RM500.

Nawardi berkata, tiada tangkapan dilakukan berikutan pekerja melarikan diri ketika serbuan, namun pihaknya akan terus memburu dalang utama sindiket yang dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 8(2)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual semula barangan palsu.

Berita Harian X