Isnin, 22 Februari 2016 | 10:42pm

Polis Sentul buru suspek kes rusuhan, bunuh

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu 20 suspek yang menyerang dua lelaki dalam rusuhan di pusat hiburan di Batu Tiga, Jalan Ipoh di sini pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy, berkata setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti seorang individu dari Lenggeng, Negeri Sembilan yang dipercayai terbabit dalam kes itu dan masih mengesan suspek lain.

Dalam kejadian itu jam 12.52 pagi, mangsa yang masing-masing berumur 37 dan 35 tahun cedera di muka, kepala, tangan, mata dan anggota badan selepas diserang sekumpulan lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun dengan parang, pisau dan kayu snuker.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - Foto BERNAMA

Semua suspek kemudian melarikan diri manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Motif serangan adalah akibat salah faham yang tercetus antara dua kumpulan," katanya hari ini.

Ditanya sama ada kedua-dua kumpulan itu adalah kumpulan gangster, beliau menafikannya sambil menambah semuanya berada dalam keadaan mabuk sewaktu insiden itu.

Sehubungan itu, beliau minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Munusamy berkata polis turut memburu tiga suspek dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki berumur 34 tahun di Publika Solaris, Jalan Dutamas 1, di sini pada 8 Februari lalu.

"Setakat ini seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan beliau tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, mangsa yang mempunyai dua kes jenayah lampau disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas mengalami kecederaan di muka dan badan dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Berita Harian X