Ahad, 14 Februari 2016 | 11:33pm

Kes samun: 5 warga Nigeria ditahan

SERDANG: Lima lelaki warga Nigeria yang dipercayai mendalangi satu kejadian samun di Bandar Puteri, Puchong semalam, ditahan, petang tadi.

Mereka ditahan dalam serbuan ke atas sebuah unit pangsapuri di Taman Puchong Prima, Puchong, kira-kira jam 4 petang.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hasil risikan dan maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, berkata seorang suspek cedera ketika cuba melarikan diri dengan terjun melalui balkoni unit pangsapuri berkenaan yang terletak di tingkat empat.

"Suspek berjaya ditangkap dan dia yang patah pergelangan kaki kiri dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.

"Empat rakan subahatnya yang berada di dalam rumah turut ditahan dan semua mereka akan direman esok pagi bagi membantu siasatan," katanya menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia 24 tahun hingga 34 tahun dan pihak polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas.

Dalam kejadian samun kira-kira jam 11.30 malam itu, seorang pelanggan yang baru keluar dari sebuah restoran, disamun lapan lelaki dipercayai warga Nigeria di hadapan restoran berkenaan.

Mangsa, yang juga warga Nigeria berusia 30-an diugut dengan sebilah pedang.

Selain wang tunai RM8,000, seutas rantai leher emas bernilai RM6,000 dan jam tangan bernilai RM2,000 milik mangsa, turut dilarikan.

Berita Harian X