Isnin, 8 Februari 2016 | 7:15pm

Dua hilang dihanyutkan ombak besar

Orang ramai mengerumuni Pantai Belawai, di Tanjung Manis, Sarawak, lokasi di mana dua mangsa hilang akibat dihanyutkan ombak besar, petang tadi. - Foto ihsan Bomba
Orang ramai mengerumuni Pantai Belawai, di Tanjung Manis, Sarawak, lokasi di mana dua mangsa hilang akibat dihanyutkan ombak besar, petang tadi. - Foto ihsan Bomba

TANJUNG MANIS: Hasrat tiga rakan sekampung cuba bermain ombak besar di Pantai Belawai, di sini, berakhir dengan tragedi selepas dua daripadanya hilang, dikhuatiri lemas.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika berlaku fenomena ombak besar di kawasan pantai berkenaan.

Mangsa yang hilang itu disahkan adalah Armi Armira Pendita, 27 dan Mohd Hanis bin Tajuddin, 16 tahun, berasal dari Kampung Jerijeh, Sarikei.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Zakaria Aini, ketika mengesahkan kejadian memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan.

"Kita menerima panggilan memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.45 petang dan sebuah jentera beserta empat anggota bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR bertumpu ke sekitar kawasan pantai terbabit, termasuk di lokasi kedua-dua mangsa dilaporkan kelihatan sebelum hilang.

Berita Harian X