Jumaat, 29 Januari 2016 | 12:41pm
TIGA lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan memiliki dadah di Kampung Baru Mantin, Nilai pada 17 Januari lalu. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
TIGA lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan memiliki dadah di Kampung Baru Mantin, Nilai pada 17 Januari lalu. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza

Wanita, 3 lelaki didakwa miliki 36.9kg dadah

SEREMBAN: Tiga lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dadah seberat 35.9 kilogram di Mantin dekat sini, pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Sim Kok Chai, 44; Tai Cheng Meng, 38; dan Leong Chee Keong, 40, serta wanita, Koo Shu Tian, 32, mengangguk memahami dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Asyida Abd Rahim.

Mereka didakwa secara bersama memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 10.9 kilogram di No 189, Jalan Mantin, Kampung Baru, Mantin, pada jam 2.20 petang, 17 Januari lalu.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Sesyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Sesyen 39(B)(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati.

Satu lagi pertuduhan ke atas mereka ialah secara bersama memiliki dadah jenis Estacy seberat 25 kilogram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Sesyen 39(B)(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Sesyen 39(B)(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rinisha Priyya, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 17 Mac ini.

Berita Harian X