Isnin, 25 Januari 2016 | 1:15pm

Pemandu BMW sebabkan tiga maut direman

Oleh Siti Azila Alias

sitiazila@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta BMW yang ditahan selepas merempuh sekumpulan enam penganut Hindu yang berjalan kaki hingga mengakibatkan tiga daripada mereka maut, Sabtu lalu, direman selama tiga hari sehingga esok.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata siasatan terhadap lelaki berusia 20-an itu masih diteruskan dan pihaknya perlu menunggu laporan daripada agensi lain termasuk mendapatkan keputusan ujian air kencing suspek.

"Suspek kini masih ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Selepas selesai (siasatan), baru kita akan serahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Mengenai mangsa yang cedera, Markhandan berkata, tiga termasuk seorang wanita yang parah masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan keadaan mereka dilaporkan masih kritikal.

Dalam kejadian jam 8 pagi Sabtu lalu, K Saravanan, 45, bersama dua rakan, C Kannan, 51, dan S Papa, 53, yang berjalan dari Seremban ke Batu Caves bagi menunaikan nazar sempena Thaipusam, maut dirempuh kereta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Tiga lagi rakan mereka, P Mageswaran, 40; D Darrshen, 18, dan seorang wanita, S Anjalai Devi, 44, parah serta dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Berita Harian X