Sabtu, 23 Januari 2016 | 4:40pm

Subramaniam lawat mangsa langgar lari

S Subramaniam menenangkan isteri mangsa kemalangan kes langgar lari, Sujatha Vaiyapuri, 41, di PPUKM, hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif
S Subramaniam menenangkan isteri mangsa kemalangan kes langgar lari, Sujatha Vaiyapuri, 41, di PPUKM, hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

CHERAS: Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam, mengucap takziah kepada keluarga tiga penganut Hindu yang terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pagi ini.

Beliau yang turut melahirkan simpati terhadap mangsa dan keluarga masing-masing, meluangkan masa melawat tiga lagi mangsa yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

"Saya dimaklumkan dua mangsa dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi masih kritikal," katanya.

Dalam kemalangan jam 8 pagi itu, K Saravanan, 45; S Papa, 63; dan C Kannan, 50, maut di tempat kejadian, manakala rakan mereka, P Megaswaran, 40; D Darrshen, 18, dan seorang lagi wanita belum dapat dipastikan identitinya.

Mangsa yang berjalan di lorong kecemasan dirempuh kereta BMW dari pusat bandar menghala Seremban.

Mereka antara 45 penganut Hindu yang mahu menunaikan nazar dengan berjalan bermula Khamis lalu dari Seremban menuju Batu Caves sempena perayaan Thaipusam, esok.

Mengulas kejadian itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, berkata kumpulan itu sudah biasa melakukan aktiviti berjalan sempena perayaan Thaipusam.

"Malah, mereka melakukannya dengan berhati-hati, berjalan di laluan kecemasan berdekatan penghadang jalan," katanya.

Beliau berharap polis dapat segera mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu kereta berkenaan.

Berita Harian X