Sabtu, 16 Januari 2016 | 1:07am

Kes tembak di Selayang tiada kaitan perkauman

KUALA LUMPUR: Polis menolak dakwaan kes tembakan yang mencederakan seorang lelaki dan kanak-kanak di pasar borong Selayang, Rabu lalu ada kaitan isu perkauman.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata polis minta orang awam tidak mempercayai dakwaan itu dan tiada sebarang isu perkauman dengan kes terbabit.

"Mereka (individu) menyebarkan kenyataan di media sosial kononnya akan berlaku pergaduhan sehingga berlaku pembunuhan akibat perkauman di kawasan itu.

"Polis memberi amaran keras terhadap individu terbabit yang menakutkan orang awam dan peniaga di pasar borong berkenaan. Hingga hari ini kita tidak menerima sebarang laporan dan tiada kes seperti yang disebarkan," katanya ketika ditemui pemberita sebentar tadi.

Sebelum ini, beberapa kenyataan di media sosial mendakwa akan berlaku pergaduhan antara kaum di pasar borong Selayang selepas kejadian tembakan itu.

Dalam kejadian itu jam 10 malam, beberapa individu dikatakan melepaskan tembakan secara rambang di pasar borong berkenaan sehingga mencederakan seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun. Mangsa sedang dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Berita Harian X