Sabtu, 16 Januari 2016 | 12:30am
KENDERAAN jenis Naza Citra yang merempuh sekatan jalan ditembak.
KENDERAAN jenis Naza Citra yang merempuh sekatan jalan ditembak.

Polis tembak 3 das kereta lari sekatan jalan

KUALA LUMPUR: Polis melepaskan tiga das tembakan terhadap sebuah kenderaan lari daripada sekatan jalan raya di hadapan kondominium Villa Lagenda, Selayang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 11 malam, kenderaan jenis Naza Citra enggan berhenti ketika anggota polis melakukan sekatan jalan raya di laluan masuk ke pasar borong Selayang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten R Munusamy, berkata kenderaan dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba memecut laju menghala ke kondominium terbabit yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekatan yang dilakukan.

Katanya, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sentul dan Balai Polis Jinjang bergegas mengejar suspek sebelum berhenti di hadapan kondominium berkenaan.

"Seorang daripada suspek yang juga penumpang secara tiba-tiba melompat melalui cermin kereta dan melarikan diri. Pemandu kemudian cuba melanggar kenderaan polis secara mengundur.

"Polis kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek yang melarikan diri ke arah Selayang dan gagal dikesan," katanya ketika ditemui.

Munusamy berkata, polis masih memburu dua suspek dan pemeriksaan terhadap kenderaan suspek tidak menemui sebarang senjata atau peralatan yang berkaitan jenayah.

"Kita turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi memburu suspek yang dikatakan melarikan diri ke arah Selayang," katanya.

Berita Harian X