Selasa, 12 Januari 2016 | 3:57pm

Bahan toksik dibawa lori terbakar

ALOR GAJAH: Bahan toksik yang dibawa sebuah lori dilaporkan terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran stesen minyak PETRONAS Sungai Petai di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lori berkenaan dipercayai membawa bahan aluminium akyl halides berbentuk pepejal dari sebuah kilang di Bukit Rambai ke pusat pelupusan sisa toksik di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, memaklumkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) dihantar ke lokasi kejadian.

Operasi memadam kebakaran berakhir kira-kira jam 3 petang tadi.

Berita Harian X