Isnin, 11 Januari 2016 | 2:57pm

Dua beranak mati ditikam

gn4id:11433467

KINABATANGAN: Seorang ibu bersama anak lelakinya maut selepas dipercayai ditikam bekas suami selepas pertengkaran di rumah mangsa di Ladang Permodalan 1 dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi tadi, Azura Shima, 39, meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah klinik di ladang berkenaan manakala anaknya, Basri Jamaluddin, 24, maut di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, suspek berusia 40 tahun itu dikatakan bertengkar dengan dua beranak terbabit sebelum menikam kedua-dua mangsa lalu melarikan diri.

Basri adalah anak tiri kepada suspek.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 pagi daripada jiran mangsa sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Susulan kejadian, katanya, polis menjalankan gerakan memburu suspek dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), selain melancarkan Ops Tutup dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.

"Gambar suspek sudah diedarkan kepada IPD berhampiran untuk membantu menangkap suspek," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X