Rabu, 6 Januari 2016 | 6:40pm

Lelaki cedera dipukul 6 penyamun

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli

SUBANG JAYA: Seorang lelaki cedera di telinga kiri dan kepala akibat diserang sekumpulan individu menggunakan topi keledar, dalam kejadian samun berhampiran sebuah pusat beli belah, di Puchong, Ahad lalu.

Dalam kejadian pada jam 11.30 malam itu, mangsa bersama teman wanitanya menunggang motosikal dalam perjalanan ke Putrajaya dikatakan diekori enam suspek yang menaiki tiga motosikal.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata suspek yang mengekori mangsa kira-kira 10 minit itu bertindak menghalang motosikal mangsa sebelum mengarahkan dia menyerahkan semua barangan berharga.

Bagaimanapun, katanya, seorang daripada suspek menyepak muka mangsa dan memukul kepalanya menggunakan topi keledar selepas mangsa tidak mengendahkan arahannya.

"Akibat ketakutan, teman wanita mangsa melarikan diri sebaik melihat lelaki terbabit dipukul.

"Mangsa mengalami kecederaan di telinga kiri dan kepala dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita sebentar tadi.

Yahaya berkata, susulan laporan yang dilakukan mangsa, seorang daripada suspek ditahan selepas pihaknya berjaya mengesan sebuah motosikal yang ditunggang oleh enam suspek berkenaan.

"Setakat ini, seorang suspek berusia 20 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan operasi mengesan lima rakan jenayahnya sedang giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

Berita Harian X