Jumaat, 1 Januari 2016 | 12:03pm

Keluarga mangsa rentung di Yong Peng diminta tampil

KEADAAN sebuah bas ekspres dan kereta yang rentung terbakar dalam kemalangan di Yong Peng, malam semalam. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN sebuah bas ekspres dan kereta yang rentung terbakar dalam kemalangan di Yong Peng, malam semalam. - Foto ihsan Bomba

BATU PAHAT: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa kemalangan nahas membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres yang rentung di Yong Peng, malam semalam supaya tampil bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, seorang pemandu kereta PERODUA Myvi rentung, manakala 20 penumpang termasuk pemandu bas ekspres berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran susulan kemalangan yang memusnahkan kedua-dua kenderaan itu di Kilometer 124.5, Lebuhraya UtaraSelatan (PLUS) arah selatan, dekat Yong Peng itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh, berkata sehingga kini usaha bagi mengenal pasti identiti sebenar pemandu PERODUA Myvi yang rentung itu sedang dilakukan berikutan dokumen mangsa musnah dalam kejadian itu.

"Pemeriksaan rekod mendapati pemilik kereta PERODUA Myvi dengan nombor pendaftaran WA 9599 B itu adalah Regina Anak Ribau, 34, yang beralamat di Nombor 32, Jalan Laksamana 10, Taman Tunku Aminah, Johor Bahru.

"Bagaimanapun, kami mendapati keluarga waris di alamat pendaftaran kereta berkenaan sudah berpindah dan usaha mengesan ahli keluarga mangsa masih giat dijalankan.

"Jadi, kita meminta orang ramai yang mengenali mangsa atau keluarganya supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Inspektor Asrar di talian 019-5701619 bagi memudahkan urusan," katanya.

Katanya, mayat mangsa juga sudah diserahkan ke unit forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

Berita Harian X