Selasa, 29 Disember 2015 | 12:14pm

Dua lelaki Myanmar ditemui mati ditikam

POLIS menunjukkan lokasi kejadian dua lelaki Myanmar ditemui mati ditikam di Bandar Manjalara pagi ini.
POLIS menunjukkan lokasi kejadian dua lelaki Myanmar ditemui mati ditikam di Bandar Manjalara pagi ini.

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai ditikam rakannya di kaki lima sebuah restoran di Jalan 5/62 A, Bandar Manjalara, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Kumar, 34, dan Saw, 42, dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah pada beberapa anggota badan, kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata kejadian berlaku ketika Kumar yang juga pemilik restoran itu secara tiba-tiba didatangi dua hingga empat suspek sebelum berlaku pertengkaran sesama mereka.

"Pergelutan itu berlaku sehingga ke kaki lima restoran berkenaan sebelum Kumar ditikam sebanyak 12 kali.

"Sejurus Kumar ditikam, Saw yang melihat kejadian cuba meleraikan pergaduhan namun dia turut ditikam sebanyak 18 kali oleh suspek.

"Suspek dipercayai menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri menaiki kenderaan yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Munusamy berkata, hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X