Rabu, 23 Disember 2015 | 2:51pm

Polis tumpas Geng Myvi, selesaikan 23 kes ragut

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini menumpaskan satu kumpulan penjenayah dikenali Geng Myvi yang disyaki mendalangi 23 kes kes ragut sekitar daerah ini dan Penampang sejak enam bulan lalu.

Ia susulan penahanan lapan anggota kumpulan berkenaan menerusi serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, antara Ahad lalu hingga semalam.

Semua suspek termasuk dua wanita berusia 18 hingga 50 tahun itu ditahan di Kampung Cenderakasih di Kolombong, Luyang dan serta sekitar ibu negeri, susulan laporan polis oleh seorang doktor wanita yang menjadi mangsa ragut terbaharu kumpulan terbabit, Sabtu lalu.

Difahamkan, doktor wanita itu diragut berhampiran sebuah restoran Jalan Gaya ketika berjalan sendirian, menyebabkannya kehilangan telefon bimbit serta sejumlah wang tunai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata susulan laporan polis itu, pihaknya menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai ketua kumpulan ragut berkenaan di Kampung Cenderakasih.

"Susulan penahanan suspek, polis mengesan tujuh lagi anggota kumpulan itu serta merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka.

"Berdasarkan pemeriksaan, kumpulan terbabit mendalangi 17 kes ragut di sekitar daerah ini serta enam lagi kes di Penampang," katanya di IPD Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Chandra berkata, kumpulan berkenaan yang menyasarkan golongan wanita sebagai mangsa, menggunakan modus operandi dengan memandu Perodua Myvi dan Axia milik mereka secara perlahan sebaik mengenal pasti sasaran.

"Jenayah dilakukan oleh dua suspek iaitu seorang sebagai pemandu dan seorang lagi duduk di kerusi penumpang belakang dengan tingkap terbuka.

"Apabila sudah menetapkan sasaran, kereta dipandu perlahan sambil mengekori mangsa dan selepas suspek di bahagian penumpang belakang mendapatkan beg mangsa, mereka terus melarikan diri," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Berita Harian X