Ahad, 20 Disember 2015 | 3:20pm

Kapal China tidak ceroboh perairan negara - TLDM

PANGLIMA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
PANGLIMA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

KUALA LUMPUR: Dakwaan berlaku pencerobohan oleh kapal tentera laut China di perairan Bintulu dan Beting Patinggi Ali (BPA) di Sarawak adalah tidak tepat.

Sebaliknya, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, menjelaskan dakwaan itu sebenarnya merujuk kapal peronda yang berada di luar 12 batu nautika iaitu luar kawasan Malaysia.

Beliau turut memaklumkan, sejak 18 November lalu, tiada lagi kapal China bersauh di kawasan perairan BPA.

"Persetujuan ini dicapai melalui rundingan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dengan rakan sejawatan mereka dari China.

"Ia juga tercapai hasil hubungan baik antara kedua-dua negara sejak sekian lama. Keadaan perairan negara khasnya di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM turut menghantar kapal ke BPA bagi tujuan memantau kehadiran kapal dari negara asing.

Sebahagian dari perairan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Malaysia, iaitu sehingga ke 200 batu nautika dari pantai Sarawak dan Sabah meliputi kawasan yang terbabit dalam tuntutan bertindih dengan beberapa negara lain, termasuk China.

Kawasan perairan sehingga ke 12 batu nautika dari pantai adalah milik negara dan jika dicerobohi tanpa sebab boleh dianggap menggugat kedaulatan negara.

Berita Harian X