Rabu, 16 Disember 2015 | 12:14am

'Lutung' ditahan, curi barang jemaah masjid

OMAR (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang media. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
OMAR (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang media. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Kegiatan seorang lelaki yang berpura-pura singgah di masjid untuk bersolat sebaliknya bertindak mencuri beg tangan dua jemaah wanita terbongkar dengan penahanan lelaki itu di sebuah rumah, Ahad lalu.

Suspek berusia 28 tahun itu yang dikenali dengan gelaran 'Lutung" dipercayai giat menjalankan kegiatan mencuri barangan jemaah wanita di dua masjid berasingan di sekitar daerah ini pagi Ahad lalu.

Dia yang juga didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Baru, Alor Pongsu, dekat sini kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bahktiar Yaacob, berkata satu pasukan khas ditubuhkan selepas berlaku kejadian curi di dua masjid iaitu pada 3 Oktober di Masjid Tebuk Panchor dan 8 Disember di Masjid Tinggi, di sini.

"Dua wanita terbabit membuat laporan polis berikutan beg tangan mereka dilarikan pencuri sewaktu menunaikan solat di masjid berkenaan.

ANTARA barangan yang dicuri suspek. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ANTARA barangan yang dicuri suspek. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

"Pada 13 Disember lalu, pasukan polis diketuai Ketua Polis Balai Bagan Serai, Inspektor Azhazarul Khairi Ab Hamid, menyerbu sebuah rumah di Jalan Baru, Alor Pongsu dan menjumpai satu beg tangan wanita mengandungi kad pengenalan, kad bank, buku bank, kad pesara kerajaan, dompet wanita, sebuah loket dan seutas gelang tangan emas," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, polis turut menemui sebilah kerambit dalam beg tangan berkenaan dipercayai milik suspek yang turut mengakui melakukan dua kegiatan terbabit, secara bersendirian.

"Modus Operandi suspek adalah singgah di mana-mana masjid dan berpura-pura untuk bersolat sebelum mengambil kesempatan mencuri barangan jemaah ketika mempunyai peluang. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, susulan penangkapan suspek polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian yang dilaporkan berlaku di daerah Kerian.

Berita Harian X