Sabtu, 12 Disember 2015 | 5:31pm

Lelaki ditikam cakap kotor

TELUK INTAN: Seorang lelaki cedera ditikam di perut oleh rakannya kerana marah kepada mangsa yang suka bercakap kotor.

Dalam kejadian 3.30 pagi tadi di Simpang Empat Hutan Melintang, mangsa A Kalaicelvan cedera ditikam rakannya di perut dengan pisau pemotong sayur oleh rakannya yang berang dengan tindakan mangsa bercakap kotor.

Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Suhaily Mohd Zain, berkata siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu membantu jirannya untuk membuat persiapan majlis perkahwinan dari jam 8 pagi semalam hingga awal pagi tadi.

"Selepas kerja persiapan perkahwinan selesai, mangsa dan rakannya berbual di hadapan rumah sambil minum minuman keras. Bagaimanapun jam 2.30 pagi, mangsa telah bercakap perkataan kotor kepada rakannya dan mengakibatkan berlaku pergaduhan.

"Suspek mengambil pisau pemotong sayur dan menikam mangsa hingga mengenai bahagian sebelah kiri perut," katanya.

Beliau berkata, beberapa rakan lain yang menyedari kejadian itu kemudian meleraikan pergaduhan dan membawa mangsa yang cedera ke Klinik Kesihatan Hutan Melintang sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan mangsa luka di kiri perut dan dilaporkan stabil, bagaimanapun mangsa perlu menjalani pembedahan pada bahagian yang luka bagi merawat luka berkenaan.

Berita Harian X