Ahad, 29 November 2015 | 9:56am
KEADAAN bas ekspres yang merempuh sebuah kereta di Kilometer 121, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik, Kemaman, awal pagi ini.
KEADAAN bas ekspres yang merempuh sebuah kereta di Kilometer 121, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik, Kemaman, awal pagi ini.

Pengawal keselamatan maut kereta dirempuh bas ekspres

KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa.
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa.

KEMAMAN: Seorang pengawal keselamatan pelantar minyak maut selepas kereta dinaiki bersama dua rakannya dirempuh bas ekspres di Kilometer 121, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik, di sini, awal pagi ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu, Norhazawi Awang, 39, dari Kampung Baru Kerteh, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakannya yang masih belum diperoleh identitinya dilaporkan parah dan kritikal, manakala seorang lagi cedera ringan.

Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut, manakala dua rakannya dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil dinaiki tiga sahabat terbabit membuat pusingan U, sebelum dirempuh bas ekspres yang datang dari arah sama.

Pemandu bas ekspres berusia 41 tahun berkata, ketika kejadian dia membawa 40 penumpang dari Setiu, menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, setiba di tempat kejadian dia terkejut apabila mendapati kereta terbabit berada di lorong kirinya secara tiba-tiba selepas membuat pusingan U.

"Saya sangat terkejut lalu membrek dengan kuat namun gagal mengelak sebelum merempuh kereta yang terseret kira-kira 80 meter," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Berita Harian X