Jumaat, 27 November 2015 | 6:56pm

Calon SPM ditahan selepas ragut wanita

SHAH ALAM:  Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Sijangkang, dekat sini, ditahan selepas meragut seorang wanita, di sini, semalam. 

Suspek berjaya ditahan selepas mangsa yang diragutnya, bertindak berani mengejar dan melanggar motosikal yang dibonceng suspek hingga terjatuh. 

Bagaimanapun, rakan suspek yang menunggang motosikal itu berjaya meloloskan diri.   

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dalam kejadian pada jam 11.45 pagi itu, mangsa yang berusia 20 tahun, dikatakan  menuju ke tempat kerjanya di Klang dari rumahnya di Jalan Kebun, Seksyen 30, di sini. 

Ketika dalam perjalanan, dia didatangi sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki yang bertindak merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri. 

"Berang dengan tindakan peragut yang melarikan beg tangannya, mangsa bertindak berani dengan mengejar motosikal peragut sejauh 100 meter sebelum melanggar mereka. 

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua suspek terjatuh. Bagaimanapun seorang lagi supek berjaya melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Badminton Piala Ketua Polis Daerah. 

Shafien berkata, hasil siasatan mendapati, motosikal yang dinaiki suspek dilaporkan di curi di Sri Muda, Isnin lalu . 

Katanya, polis juga turut menemui sekeping kad pengenalan milik seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai menjadi mangsa ragut di Klang Selatan, Selasa lalu.   

"Polis kini sedang memburu rakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X