Khamis, 26 November 2015 | 6:26pm

Mayat lelaki lemas ditemui di Bagan Ajam

MAYAT lelaki yang dikenali sebagai Ooi Khoon Seng berjaya ditemui jam 2.41 petang, kira-kira satu batu nautika daripada pantai. - Foto ihsan pembaca BH
MAYAT lelaki yang dikenali sebagai Ooi Khoon Seng berjaya ditemui jam 2.41 petang, kira-kira satu batu nautika daripada pantai. - Foto ihsan pembaca BH

BUTTERWORTH: Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari Jeti Nelayan, Jalan Pantai Bersih di Bagan Ajam di sini, ditemui hari ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 12.56 tengah hari ini dan jentera pertama tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Berdasarkan keterangan beberapa nelayan yang berada di situ, lelaki yang tidak dikenali itu berjalan sendirian di kawasan jeti berkenaan sebelum tiba-tiba terjatuh.

"Mereka (nelayan) di situ cuba membantu bagaimanapun gagal selepas mangsa dibawa arus deras dan ombak laut," katanya di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya dengan bantuan nelayan dan polis menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa termasuk di kawasan sepanjang pesisir pantai di situ.

Menurut PGO, mayat lelaki yang dikenali sebagai Ooi Khoon Seng, 56, itu berjaya ditemui pukul 2.41 petang, kira-kira satu batu nautika daripada pantai.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata lelaki berkenaan yang bekerja sendiri keluar dari rumah sejak pagi untuk berjumpa rakannya sebelum berjalan-jalan di kawasan jeti terbabit.

Katanya, mangsa memang selalu berjalan-jalan sekitar kawasan laut kerana suka melihat pemandangan di situ dan mereka sekeluarga tidak menyangka dia akan lemas.

"Setahu saya mangsa boleh berenang dan mungkin semasa kejadian itu arus serta ombak kuat. Kami (keluarga) sangat terkejut dengan kejadian berkenaan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X