Jumaat, 30 Oktober 2015 | 10:58am

Warga emas rentung kebakaran di Kota Marudu

KOTA KINABALU: Seorang warga emas rentung selepas rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didudukinya di Kampung Kuranji, Kota Marudu, kira-kira 131 kilometer dari sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin dalam kenyataannya hari ini berkata mayat mangsa dikenali Abdul Wakil Abdul Salam, 68, ditemui rentung di dalam sebuah rumah daripada tiga rumah PPRT yang terbabit dalam kebakaran itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.44 malam dan sebuah jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba Kota Marudu tiba di lokasi pada 11.07 malam. Api berjaya dikawal kira-kira tiga minit kemudian.

Mohd Affendy berkata, ketika pasukan bomba tiba di lokasi, dua daripada tiga rumah PPRT berkenaan terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 60 peratus.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.48 pagi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, pejabat pentadbiran Pelabuhan Kota Kinabalu yang terletak di tingkat 3, Wisma Pelabuhan, hangus dalam kebakaran kira-kira 6.28 pagi ini.

Anggota Balai Bomba Kota Kinabalu yang tiba di lokasi pada kira-kira 6.30 pagi berjaya memadamkan kebakaran berkenaan sepenuhnya sejam kemudian, katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X