Khamis, 10 September 2015 | 5:36pm
 PENGUBAHSUAIAN kapal kargo sebagai Pangkalan Laut Tun Azizan
PENGUBAHSUAIAN kapal kargo sebagai Pangkalan Laut Tun Azizan

Pangkalan hadapan di perairan Sabah tarik minat negara luar - PAT

KUALA LUMPUR: Pengubahsuaian kapal kargo dan pelantar minyak syarikat swasta sebagai Pangkalan Laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah di sempadan perairan Sabah dan selatan Filipina, menarik minat pihak luar.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata konsep pengubahsuaian kapal dan pelantar minyak sebagai pangkalan hadapan adalah yang pertama diwujudkan di dunia.

"Ia adalah idea kreatif kerajaan Malaysia dengan kerjasama PETRONAS dan belum ada mana-mana negara yang melaksanakannya lagi.

"Selepas beroperasi pada pertengahan tahun ini, pangkalan hadapan itu telah menarik minat negara lain untuk mengetahui bagaimana kita dapat melakukannya," katanya kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program 'Helo Malaysia' di BERNAMA TV.

Kedua-dua pangkalan itu menempatkan anggota tentera, helikopter, dron dan bot pemintas bagi menjaga keselamatan perairan negara.

Zulkifeli berkata, kedua-dua pangkalan laut itu adalah sumbangan PETRONAS dan kerajaan tidak mengeluarkan perbelanjaan bagi membina kedua-duanya.

"Proses ubah suai kedua-dua pangkalan hadapan itu dilakukan sepenuhnya oleh PETRONAS, dan ATM hanya terlibat dalam mengendalikan pangkalan itu," katanya.

Beliau berkata, keperluan pangkalan hadapan itu berdasarkan beberapa kejadian jenayah penculikan dan insiden pencerobohan melibatkan keselamatan negara yang berlaku sebelum ini.

Katanya, dengan adanya kedua-dua pangkalan hadapan tersebut, ATM berupaya mengesan dan memintas sebarang aktiviti jenayah maritim.

"Selain untuk tujuan pertahanan, kedua-dua pangkalan hadapan itu boleh diguna sebagai tempat persinggahan kapal milik TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) mahupun APMM (Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia) bagi mendapat bekalan minyak ataupun makanan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pangkalan hadapan itu akan ditauliahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata ATM bercadang membeli Multi-Role Support Ship (MRSS) untuk tujuan pengangkutan.

"MRSS adalah kapal pelbagai guna dan boleh mengangkut anggota ATM, peralatan serta sistem yang ATM ada," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X