Rabu, 2 September 2015 | 7:15pm

Lelaki Nepal ditahan selepas ugut polis dengan pisau

KEADAAN darah yang memenuhi hadapan rumah suspek yang mengamuk dipercayai mabuk di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
KEADAAN darah yang memenuhi hadapan rumah suspek yang mengamuk dipercayai mabuk di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki warga Nepal selepas kira-kira dua jam mengugut anggota polis dengan pisau dan mencederakan dirinya di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata sebelum kejadian, lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah kilang di sini dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum bergaduh dengan beberapa rakan senegaranya yang menghuni rumah sama.

Beliau berkata, suspek turut menumbuk cermin di rumah itu sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangannya.

"Polis menerima panggilan pada kira-kira 2 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mangsa yang tiba-tiba panik dengan kehadiran polis mengambil pisau dan mengacukan kepada anggota berkenaan.

"Polis juga bertindak mengepung laluan keluar di tingkat satu pangsapuri itu untuk menahannya yang semakin bertindak agresif sebelum berjaya ditahan 4 pagi tadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

- BERNAMA

Berita Harian X