Ahad, 9 Ogos 2015 | 3:54pm

Dua maut payung terjun tersangkut ketika latihan paragliding

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa turun mayat dua ahli Kelab Sukan Udara negeri Perlis yang maut selepas terbabit dalam nahas payung terjun dan tersangkut atas pokok pada ketinggian 50 meter dari tempat terjunan di puncak Gunung Jerai. - Foto Ihsan JBPM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa turun mayat dua ahli Kelab Sukan Udara negeri Perlis yang maut selepas terbabit dalam nahas payung terjun dan tersangkut atas pokok pada ketinggian 50 meter dari tempat terjunan di puncak Gunung Jerai. - Foto Ihsan JBPM

YAN: Dua peminat sukan ekstrem maut selepas payung terjun digunakan tersasar dan tersangkut pada pokok ketika menjalani latihan paragliding di Gunung Jerai, di sini, tengah hari tadi.

Kejadian itu, kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan kedua-dua mangsa Mohd Hazlan Ismail, 32, yang bertugas sebagai Konstabel Sokongan Polis dan Liang Chong Kee, 52, tersangkut pada pokok di tebing curam pada ketinggian kira-kira 50 meter.

Mohd Hazlan adalah juga tenaga pengajar paragliding di Kelab Luncur Udara Indra Kayangan manakala Liang seorang sub kontraktor syarikat swasta.

Saksi berkata payang terjun yang digunakan mangsa kelihatan tidak stabil disebabkan keadaan angin kencang sebelum mereka terjatuh pada tebing curam

Katanya, kedua-dua peluncur itu adalah yang terakhir berlepas selepas enam peluncur lain terjun dengan selamat.

Penolong Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kedah, Nazri Zakaria berkata pihaknya mendapati mangsa tersangkut pada pokok di tebing curam kira-kira empat kilometer dari puncak gunung dan diturunkan oleh anggota bomba pada ketinggian tebing kira-kira 50 meter.

Katanya, mayat kedua-duanya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Berita Harian X