Sabtu, 8 Ogos 2015 | 3:12pm

Anak tikam ibu bapa selepas ditegah masuk rumah

JITRA: Pasangan suami isteri berusia 60-an cedera parah selepas ditikam anak lelakinya dengan pisau di rumah mereka di Taman Sentosa 2, di sini, akibat perselisihan faham pagi tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi, difahamkan suspek bertindak sedemikian selepas dia tidak dibenarkan masuk ke rumah selepas berlaku pertengkaran dengan ibu bapanya kira-kira jam 10 malam tadi.

Mengikut sumber, bagaimanapun sebaik mangsa membuka pintu rumah pagi tadi, suspek terus masuk dan berlaku pertengkaran sebelum dia menikam perut ibunya sementara bapanya ditikam di kiri pinggang.

"Mangsa yang cedera kemudian berlari minta pertolongan daripada jiran.

"Bapa mangsa yang cedera turut dihentak dengan topi keledar sebanyak dua kali ketika berada di luar rumah," katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudian menghubungi ambulans dan polis yang datang dan menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah, mengesahkan kejadian itu dan mangsa kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam ibu bapanya turut ditemui di rumah itu.

Berita Harian X