Khamis, 30 Julai 2015 | 4:21pm

Suspek kes bunuh di Lahad Datu diberkas di Pulau Sebatik

KOTA KINABALU: Suspek utama yang diburu polis sejak 8 Julai lalu berhubung kes pembunuhan di dalam Masjid Kampung Bikang, Lahad Datu, diberkas di kawasan kebun kelapa sawit di Kg Sungai Limau, Pulau Sebatik, Tawau, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata suspek yang berumur 42 tahun dan pemegang dokumen pas pelarian IMM 13 diberkas pada 8.30 malam hasil serbuan sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Polis Balai, Balai Polis Bergosong di kawasan kebun kelapa sawit berkenaan.

"Suspek dipercayai cuba mendapatkan ihsan ahli keluarganya yang tinggal di kawasan berhampiran tetapi tidak diendahkan kerana mengetahui suspek dikehendaki pihak polis.

"Oleh kerana tidak mendapat perlindungan, suspek bersembunyi di kawasan kelapa sawit. Semasa tangkapan dibuat suspek keluar mencari makanan kerana sudah dua hari tidak mendapat bekalan makanan," kata Salehhudin dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Salehhudin suspek berkenaan disyaki membunuh seorang lelaki dikenali sebagai Omar Abdul Rakman, 23, pada jam 10 pagi, 8 Julai lalu di dalam Masjid Kampung Bikang, Lahad Datu. Mangsa meninggal dunia akibat tikaman di bahagian dada.

Katanya, selepas kejadian itu, polis membuat 15 tangkapan dan berdasarkan maklumat yang diterima, suspek utama dikenal pasti namun suspek, isterinya yang juga pemegang dokumen pas pelarian IMM 13 serta dua anak lelakinya berumur 19 dan 21 tahun, melarikan diri ketika kediamannya diperiksa.

Berikutan itu, katanya, sepasukan petugas mengandungi anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Lahad Datu kemudian ditubuhkan bagi menjejaki suspek dan selepas dikesan berada di Tawau, anggota JSJ Tawau dimasukkan dalam pasukan petugas berkenaan untuk memberkas suspek.

Katanya, kereta yang disembunyikan suspek juga dirampas.

"Motif pembunuhan adalah akibat salah faham antara suspek dan mangsa," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X