Ahad, 26 Julai 2015 | 7:03pm

Bayi dalam kereta dilarikan penjenayah ditemui selamat

Qaseh Ainur Ramadhia (tengah) yang dilarikan penjenayah menggunakan kenderaan bapanya di hadapan Subang Parade semalam ditemui selamat di sebuah stesen minyak di Glenmarie tengah malam tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Qaseh Ainur Ramadhia (tengah) yang dilarikan penjenayah menggunakan kenderaan bapanya di hadapan Subang Parade semalam ditemui selamat di sebuah stesen minyak di Glenmarie tengah malam tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

SUBANG JAYA: Seorang bayi perempuan berusia 14 bulan yang berada dalam kereta bapanya yang dilarikan penjenayah di hadapan pusat beli belah Subang Parade di sini malam tadi, ditemui dalam keadaan selamat selepas ditinggalkan di belakang sebuah stesen minyak di Jalan U1 Glenmarie, Shah Alam, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, bayi berkenaan, Qaseh Ainur Ramadhia, yang sedang tidur dalam kerusi khas bayi di tempat duduk penumpang hadapan kereta Perodua Myvi, ditinggalkan bapanya dengan enjin kereta tidak dimatikan untuk memanggil isterinya yang bekerja di sebuah restoran di pusat beli belah berkenaan.

Selepas berjumpa isterinya, bapa mangsa kembali ke kereta dan mendapati kereta berkenaan dilarikan seorang lelaki dan beliau cuba mengejar kereta itu dibantu seorang awam dengan menaiki motosikal tetapi gagal.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya dan selepas hebahan dibuat, mereka akhirnya menerima perkhabaran gembira apabila bayi ditemui di sebuah stesen minyak di Jalan U1, Glenmarie kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Difahamkan, pekerja stesen minyak terbabit terdengar suara bayi menangis berhampiran tandas sebelum menemui bayi berkenaan ditinggalkan dalam kerusi khas bayi bersama sehelai tuala berwarna jingga.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, penjenayah yang melarikan kereta berkenaan dipercayai meninggalkan bayi terbabit di stesen minyak itu sebelum melarikan diri bersama kereta mangsa.

"Bayi berkenaan tidak cedera dan sudah diserahkan semula kepada ibu bapanya. Usaha mengesan suspek masih diteruskan," katanya.

Berita Harian X